KUALA LUMPUR 6 Nov. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini hanya menunggu ulasan penuh daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membolehkan pihaknya membuat keputusan dan merangka kaedah pembayaran balik pinjaman seperti digariskan dalam Belanjawan 2019.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, setakat ini, kementerian-kementerian yang terlibat sudah memberi ulasan masing-masing kepada Kabinet kecuali Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang didapati lewat berbuat demikian.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak dapat melengkapkan laporan ulasan Kabinet, selain akan mengambil langkah untuk bertemu dengan pemegang-pemegang taruh.
“Dalam dasar kerajaan, sebelum dibuat keputusan, Kabinet perlu memberi ulasan mengenai langkah yang diambil PTPTN berhubung kaedah pembayaran balik pinjaman. Kita terpaksa tunggu, kalau sudah lulus semua, kita akan gabungkan ulasan-ulasan berkenaan serta mula merangka langkah seterusnya.
“Saya amat berharap Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat memberi ulasan berhubung kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN secepat mungkin, Saya berharap ia dapat dilakukan dalam beberapa hari ini dan keputusannya boleh dibuat PTPTN dalam bulan ini juga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Di bawah Belanjawan 2019, lima perkara yang PTPTN akan laksanakan adalah pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatan peminjam. Jadual pembayaran balik ini hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
Kedua, pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019, manakala ketiga, layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.
Keempat, potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama dan kelima, menghapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.
Ketika ditanya adakah PTPTN akan meneruskan langkah menghapuskan hutang bagi peminjam yang mendapat keputusan ijazah kelas pertama dan tempoh penangguhan setahun selepas menamatkan pengajian, tambah Wan Saiful, hal itu berada dalam pertimbangan pihaknya.
“Secara prinsipnya, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan diberi keistimewaan. Sekarang, kita ada bagi cadangan pilihan satu, dua dan tiga kepada Kabinet, kita berharap, ia akan diputuskan secepat mungkin,” katanya.










