SHAH ALAM 3 Nov. –Semua pejabat di sektor awam dan swasta disaran menghentikan kerja selama 15 minit pada sebelah pagi untuk kakitangan melakukan senaman ringan setiap hari bagi membudayakan gaya hidup sihat di samping menzahirkan minda yang cerdas.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu perlu memandangkan gaya hidup rakyat Malaysia sekarang semakin tidak sihat menyebabkan ia memberi kesan terhadap produktiviti serta kualiti idea yang diharapkan daripada setiap pekerja.
“Saya syorkan semua kegiatan pejabat kerajaan dan swasta berhenti seketika pada pukul 11 pagi dan melakukan senaman ringan selama 15 minit. Kalau boleh keluar dari bilik pejabat yang berhawa dingin, ini adalah cara untuk kita cergaskan diri.
“Dulu ada pelbagai pekerjaan yang membuatkan badan kita menjadi sihat, tapi sekarang kita kerja di pejabat dan lebih banyak duduk saja dari pagi sehingga ke petang,” katanya ketika melancarkan Kempen Hidup Aktif (Walk) di Setia City di sini hari ini.
Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Timbalannya, Dr. Lee Boon Chye; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut, Dzulkefly berkata, saranan Dr. Mahathir akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat tetapi menegaskan, bagi Kementerian Kesihatan ia adalah arahan dan bukan bersifat sekadar saranan Perdana Menteri.
“Kita akan mengambil saranan ini dan akan dimulakan dengan Ketua Setiausaha kementerian yang akan merancang untuk mengadakan program berkenaan dalam masa terdekat iaitu dengan melakukan beberapa senaman sebelum kembali semula bekerja.
“Saya akan bangkitkan pada mesyuarat Kabinet akan datang untuk dilaksanakan di seluruh kementerian. Ia bukan perkara yang sukar dan dikementerian kita sedia lakukannya segera,” katanya.
Infografik Gaya Hidup Rakyat Malaysia:
* 1 daripada 3 orang dewasa tidak aktif.
* Golongan wanita paling tidak aktif.
* 80 peratus remaja tidak cukup aktiviti fizikal.
* 50.1 peratus remaja amal cara hidup sedentari (duduk) lebih 3 jam tanpa aktiviti fizikal.
Sumber: Kementerian Kesihatan











