KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pemberian subsidi atau insentif kepada rakyat terutama isi rumah berpendapatan rendah (B40) perlu dikekalkan bagi mengurangkan beban golongan berkenaan.
Namun begitu, kerajaan mungkin boleh menukarkan penyampaian subsidi atau insentif yang ketika ini diberikan secara tunai kepada alternatif lain seperti latihan sekali gus membantu golongan B40 meningkatkan ekonomi masing-masing.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, keadaan ekonomi negara yang tidak menentu mungkin menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk memotong insentif kepada rakyat.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab menyediakan kemudahan dan keperluan asas yang mencukupi kepada rakyat.
“Jika kerajaan mengatakan bahawa tidak akan lagi memberi insentif atau subsidi kepada rakyat, jadi kena fikir cara lain untuk memastikan sebilangan besar rakyat tidak tertinggal dari segi ekonomi.
“Kerajaan mungkin boleh memperkenalkan subsidi berbentuk latihan bagi menggalakkan golongan B40 memajukan diri dan meningkatkan ekonomi mereka, bukan secara tunai seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan tiada lagi pemberian subsidi kepada rakyat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membendung budaya terlalu bergantung kepada pihak lain serta tidak mampu berfikir.
Tambah Nuradli Ridzwan Shah, satu lagi cara sekiranya kerajaan mahu memotong pemberian subsidi ialah dengan meningkatkan gaji minimum.
“Walaupun kos akan sedikit meningkat, tetapi lebihan pendapatan yang diperoleh rakyat itu akan kembali semula kepada kerajaan melalui perbelanjaan harian mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan tidak seharusnya mengamalkan dasar terlalu berjimat cermat dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan esok bagi memastikan impak kepada ekonomi dapat terus dirasai.
“Saya merasakan subsidi, geran atau insentif akan dikekalkan, namun mungkin kuantitinya akan berkurangan dalam memastikan pemberian itu lebih taktikal serta khusus kepada mereka yang memerlukan sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










