KOTA BHARU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melancarkan projek perintis Program Food Bank Malaysia peringkat negeri di pasar raya Giant Tunjong, di sini hari ini.
Wan Azizah berkata, seramai 186,354 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam data eKasih kerana dalam Paras Garis Kemiskinan di seluruh negara menjadi golongan sasar bagi Program Food Bank Malaysia yang masih di peringkat percubaan.
“Selain membantu menangani kos sara hidup, program itu bertujuan mewujudkan struktur pengurusan lebihan makanan yang lebih tersusun dan sebagai salah satu inisiatif membantu rakyat Malaysia menguruskan lebihan makanan secara bersistematik.
“Saya ingin menjemput syarikat-syarikat pengusaha pasar raya, pengilang dan industri perhotelan supaya turut serta bersama-sama kementerian bagi menjayakan Program Food Bank Malaysia,” katanya.
Beliau berkata dalam ucapannya selepas merasmikan program yang diperkenal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail, Pierree Oliver Deplanck.
Program itu merupakan projek pengumpulan lebihan dan pengagihan makanan kepada golongan berpendapatan rendah. – K! ONLINE










