SEREMBAN 13 Nov. – Sistem gabungan rekod perubatan elektronik, Teleprimary Care-Oral Health Clinical Information System (TPC-OHCIS) akan diperluaskan ke 3,300 klinik kesihatan seluruh negara mulai tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem gabungan yang digunakan sebagai operasi harian secara waktu sebenar itu memudahkan akses maklumat pesakit di antara klinik kesihatan dan pergigian.
“Ketika ini sistem berkenaan telah digunakan di enam klinik kesihatan dan pergigian perintis di Negeri Sembilan antaranya Seremban, Ampangan, Sikamat dan Mantin.
“Di Klinik Kesihatan Sikamat, teknologi pengkomputeran awam (cloud) yang mula diperkenalkan semalam berjalan lancar dan saya berpuas hati dengan perjalanannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Sikamat, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S.Veerapan dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali.
Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, pojek perintis yang bermula sejak Mei tahun lalu menelan belanja sebanyak RM30.9 juta.
Katanya, sistem TPC-OHCIS akan mengambil alih fungsi sistem klinikal lain yang digunakan untuk merekod data pesakit malah rawatan yang pernah diambil sepanjang hayat. – UTUSAN ONLINE










