Tourism Malaysia 'belanja' media ke Marina Island Pangkor - Utusan Malaysia

Tourism Malaysia ‘belanja’ media ke Marina Island Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 10 Nov. – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengadakan lawatan media selama tiga hari dua malam ke Marina Island Pangkor bagi mempromosikan kemudahan serta tarikan yang ada di pusat pelancongan tersebut.

Seramai lapan orang pengamal media yang terdiri daripada penulis blog, wartawan akhbar serta wartawan majalah pelancongan dibawa menikmati pengalaman melancong dan menyertai pelbagai aktiviti menarik di pulau buatan manusia tersebut, bermula 8 November lalu hingga hari ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, fokus utama pihaknya adalah untuk mempromosikan Marina Island Pangkor sebagai produk pelancongan domestik di negara ini.

Kata beliau, selain Pulau Pangkor yang sudah menjadi tarikan utama, Marina Island juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan keluarga yang menarik.

“Kami sentiasa membina rangkaian dengan (pemilik) produk-produk pelancongan yang ada dan berusaha mempromosikan mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Marina Island Pangkor merupakan pulau buatan manusia berkeluasan 316.9 ekar yang terletak di Pantai Teluk Muroh, di sini.

Antara tarikan utamanya ialah Taman Permainan Air Hippo Frenzy, Chalet Memancing Rockbund, kolam memancing 24 jam dan pengalaman menaiki kapal layar mengelilingi Pulau Pangkor.

Pengamal media turut dibawa melawat Pusat Maklumat Tourism Malaysia yang berada berdekatan jeti Lumut serta beberapa tempat tarikan pelancong di pekan tersebut seperti ladang lebah dan tokong Tua Pek Kong.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN