KOTA BHARU 3 Nov. – Keluarga seorang pekerja hotel bajet, Mohamad Aiman Zafri, 25, yang didakwa di culik sekumpulan lelaki di Jalan Pekeliling, Taman Maju di sini sejak Julai tahun lalu, buntu memikirkan nasib mangsa yang kini hilang tanpa sebarang jejak.
Menceritakan semula kejadian pada pukul 11.15 pagi, 5 Julai 2017, isterinya Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, berkata, dia dan suami baru pulang dari tempat kerja dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum berhenti di depan kedai runcit di Taman Maju.
“Sebuah kereta jenis Kia berwarna hitam berhenti di sebelah kereta kami dan tiga lelaki bersenjatakan kayu keluar dari kereta tersebut sebelum memaksa suami saya masuk ke dalam kereta mereka.
“Mereka menggari suami dan beredar dari lokasi itu. Lima minit kemudian, suami menghubungi saya dan memberitahu secara ringkas yang dia dibawa ke Pekan Golok, Thailand kerana kumpulan lelaki terbabit mahu berbincang suatu perkara,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Bimbang keselamatan suami, Nur Azra Syazwani memberitahu, dia dan keluarga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira sejam kemudian.
Katanya, keesokan hari seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand menghubungi mereka dan meminta wang sebanyak RM50,000 sebagai tebusan di samping membiarkan keluarga mendengar mangsa yang meraung kesakitan seolah-olah sedang diseksa.
“Kami merayu wang tebusan dikurangkan dan lelaki itu bersetuju dengan nilai akhir RM20,000. Selepas berjaya mengumpulkan wang tersebut, kami diarah meninggalkannya di sebuah perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang kira-kira pukul 8 malam pada 14 Julai 2017.
“Kami diminta mengambil suami di Rantau Panjang namun hampa dia tidak muncul-muncul selepas tiga jam menunggu,” katanya sambil memberitahu, setiap perbincangan, keputusan dan tindakan mereka sekeluarga dengan penculik dipantau sepenuhnya oleh pihak polis.
Menurut Nur Azra Syazwani, mereka diarahkan memasukkan wang tambahan sebanyak RM2,000 ke dalam satu akaun bank milik seorang wanita selepas diarahkan berbuat demikian oleh suspek pada 28 Julai 2017.
“Suspek sekali lagi menghubungi kami pada 13 Ogos 2017 dan bertegas mahu baki wang tebusan sebanyak RM28,000 dibayar tapi kami sudah tidak ada wang. Itu kali terakhir dia menghubungi kami dan selepas itu tidak ada lagi khabar mengenai suami sehingga hari ini.
“Saya rayu kepada penculik, tolonglah bebaskan suami. Anak lelaki tunggal kami yang berusia tiga tahun sering bertanyakan tentang ayahnya dan saya hanya mampu memberitahu dia pergi bekerja sedangkan saya sendiri tidak tahu hidup mati suami,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Wan Shariza Wan Zulkifli, 51, berkata, dia hidup dalam keadaan terseksa kerana tidak tahu nasib menimpa Muhammad Aiman yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
“Saya diberitahu anak saya berhutang sebanyak RM20,000. Wang itu sudah pun dibayar kenapa mereka masih belum bebaskan dia dan biarkan kami sekeluarga menderita,” katanya sambil memberitahu, polis juga dikatakan tidak mempunyai petunjuk berhubung kes tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Halim Nordin mengesahkan pihaknya menerima laporan keluarga mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik mana-mana individu keluar daripada sempadan Malaysia. – UTUSAN ONLINE










