Tolak ratifikasi ICERD – Harussani - Utusan Malaysia

Tolak ratifikasi ICERD – Harussani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 12 Nov. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta kerajaan menolak dan tidak melayan desakan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, cadangan ratifikasi ICERD akan menafikan kesepakatan kontrak sosial yang sudah lama dipersetujui antara kaum di negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Kerajaan bertanggungjawab memelihara amanah ummah agar mempertahankan Kelu­huran Perlembagaan yang telah disepakati lebih 50 tahun lalu. Adalah menjadi satu ke­perluan bagi rakyat Perak yang telah mengecapi kemakmuran mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang anasir dalaman dan luaran yang berhasrat menggugat keamanan negara ini,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Harussani, kese­pakatan kontrak sosial telah menatijahkan kejayaan setiap kaum dan etnik terhadap pe­ranan masing-masing dalam kemajuan negara dan ia ditonjolkan hasil daripada ketinggian serta keluhuran perpaduan kaum yang diikat dan dimeterai dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peranan bumiputera Melayu Islam sebagai penduduk asal di negara ini diperakui berasaskan catatan sejarah sebagai satu bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi nilai toleransi dan kesantunan bermasyarakat.

“Sikap menolak diskriminasi terhadap kaum-kaum lain dengan menerima kedatangan mereka ke negara ini sebagai bukti layanan yang terhasil daripada nilai dan budi kaum bumiputera Melayu Islam.

“Sikap yang dizahirkan ini adalah lahir daripada kesepa­duan iman, amal dan adat tradisi ketimuran diasuh, disemai dan dididik oleh agama dan nilai budi Melayu supaya menghormati nilai kemanusiaan walaupun berbeza bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat resam,” katanya.

Tambah Harussani, sesuatu yang tidak boleh disangkal bahawa hasil daripada sikap tole­ransi tersebut, maka adalah wajar kedudukan Agama Islam dan ke­tuanan Melayu seperti yang telah disepakati terutamanya Perkara 3(1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipertikaikan dan dicabar.

“Hal berkenaan sudah dise­pakati secara bersama dan bijaksana oleh pemimpin terdahulu dengan mengambil kira kepentingan semua kaum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×