IPOH 3 Nov. – Timbalan Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim), Datuk Ayub Mohamed maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Ayub, 57, yang juga Pengerusi Mapim negeri, meninggal duniadi tempat kejadian manakala seorang penumpang lelaki berusia 25 tahuntidak cedera.
Difahamkan ketika kejadian, Ayub, yang merupakan penyelaras Rumah Ngaji Perak memandu kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kemalangan pada pukul 7.07 pagi turut menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Kancil berusia 49 tahun mengalami kecederaan.
Katanya, ketika kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Sungai Siput ke Ipoh melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala kereta Perodua Kancil itu pula dari arah Jalan Merpati menghala Persiaran Medan Ipoh.
“Kereta mangsa dipercayai telah melanggar lampu isyarat dan menyebabkan kereta Perodua Kancil itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kancil pula cedera ringan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










