ROME 14 Nov. – Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini mengkritik Gonzalo Higuain atas tindakan memalukan penyerang AC Milan itu selepas diarah keluar padang kerana menggunakan kata-kata kesat kepada pengadil perlawanan.
Dalam perlawanan pada Ahad lalu, Milan tewas 2-0 kepada Juventus yang menyaksikan pemain dari Argentina berkenaan dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan merbahaya kepada Medhi Benatia.
Bagaimanapun timbul rasa kurang senang buat Higuain dengan tindakan pengadil perlawanan berkenaan, Paolo Mazzoleni sehingga berlaku pertengkaran melibatkan mereka berdua.
“Saya amat malu dengan sikap yang dipamerkan oleh pemain itu dan saya berharap dia berdepan pengantungan yang amat lama.
“Bermula hari ini, mereka yang mempamerkan sikap sedemikian akan membayarnya dengan hukuman lebih berat,” kata Salvini selepas bermesyuarat dengan Presiden Persatuan Pengadil Itali, Marcello Nicchi, di sini, hari ini. – AFP










