KOTA BHARU 10 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan mengamalkan pentadbiran negara berlandaskan kepada tiga prinsip demokrasi.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, prinsip itu adalah kerajaan perlu mengabdikan diri kepada rakyat, menghormati undang-undang dan pemisahan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Kita akan memerintah dengan sistem demokrasi yang mana suara rakyat perlu dipatuhi. Ini bermakna, apa yang pemerintah lakukan mesti mengabdikan dan mendengar suara rakyat.
“Kedua, dalam sistem demokrasi perlu ada undang-undang yang dihormati. Kita tidak mahu menjadi seperti kerajaan terdahulu yang tidak menghormati undang-undang sehingga menekan rakyat dan berlaku ketidakadilan.
“Ketiga, kerajaan akan memastikan
pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku pertikaian dan salah faham,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Ramah Mesra Pimpinan Pakatan Harapan negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Pengerusi PH negeri, Senator Datuk Husam Musa dan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. -UTUSAN ONLINE










