Tiga cabang PKR di Sabah jalani pengundian semula Sabtu dan Ahad - Utusan Malaysia

Tiga cabang PKR di Sabah jalani pengundian semula Sabtu dan Ahad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Setelah meneliti laporan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Biro Politik PKR bersetuju bahawa pemilihan bagi tiga cabang di Sabah iaitu Keningau, Pensiangan dan Tawau akan diadakan semula.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan semula bagi Cabang Keningau ditetapkan pada esok manakala Pensiangan dan Tawau dijalankan serentak pada Ahad ini.

“Biro Politik PKR telah membincangkan laporan tersebut dan telah bersetuju dengan syor pihak JPP bahawa pengundian semula perlu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Biro Politik PKR pada satu mesyuarat bertarikh 7 November lalu telah diberikan laporan oleh pihak JPP tentang beberapa kecacatan dan perlanggaran proses pengundian yang berlaku di Cabang Keningau, Pensiangan dan Tawau.

Laporan bagi Cabang Keningau, JPP membuat keputusan untuk menangguhkan proses pengundian kerana berlaku pertukaran lokasi di saat akhir yang melibatkan premis yang tidak sesuai serta liputan internet yang lemah.

Cabang Pensiangan pula, persetujuan dicapai oleh semua pihak dengan petugas JPP, calon-calon dan pihak Ketua Polis Daerah (OCPD) untuk tidak meneruskan proses pengundian dengan menandatangani notis persetujuan penangguhan.

Untuk Cabang Tawau pula, pengundian dibatalkan dan ditangguhkan oleh JPP kerana mendapati pengundian telah dijalankan oleh pihak ketiga bagi anggota parti yang sepatutnya mengundi sendiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN