TASEK GELUGOR 4 Nov. – Seorang pemuda tidak sempat meraikan Deepavali Selasa ini apabila maut dalam kemalangan di Kampung Selamat, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam tadi, T. Seelan , 27, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dari arah Padang Serai, Kedah menuju ke Tasek Gelugor memasuki laluan bertentangan.
Katanya, sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu seorang wanita ke arah Padang Serai tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa.
“Pelanggaran berkenaan menyebabkan penunggang motosikal tercampak serta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy memberitahu, wanita berkenaan dan seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan penumpang kereta itu turut mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










