KUALA LUMPUR 8 Nov. – Meskipun usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menerima kecaman dan dibantah banyak pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mendakwa hak istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak akan terhapus, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy tetap dengan pendirian ia sama sekali tidak membelakangi Majlis Raja-Raja dan orang Melayu.
Beliau juga berjanji sebelum diratifikasikan, perbincangan bersama masyarakat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain akan diadakan terlebih dahulu bagi mengetahui isi hati dan pandangan mereka.
“Kita akan bertemu semua pihak pada suku pertama tahun depan tetapi apa yang saya katakan telah disalah tafsir sehingga ada pihak bimbang mereka tidak akan diberi peluang berbincang sebelum apa-apa keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku Pembangunan Kontemporari Orang Asli di sini, hari ini.
Waytha Moorthy berkata, keputusan akhir mengenai ICERD bergantung kepada pertemuan tersebut sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.
Ujarnya, ICERD merupakan satu daripada enam triti hak asasi manusia yang mahu diratifikasi kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebahagian manifesto pilihan raya mereka.
Mengulas mengenai dakwaan beberapa peguam bahawa terma ‘pengecualian’ ICERD boleh ditolak pihak antarabangsa, beliau menyifatkan kenyataan tersebut hanyalah suatu perbezaan pendapat.
“Pakar perundangan ini sejak bila boleh satu hala, betul tak? Biasanya dua peguam tidak akan bersetuju dengan satu-satu perkara,” katanya.











