KEMAMAN 4 Nov. – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kemaman menganjurkan Pertandingan Inovasi dan Kreativiti TVET (TICPRO) 2018 kali kedua selama dua hari di sini baru-baru dengan sebanyak 46 projek dinilai.
Kesemua projek itu diketengahkan oleh kalangan 131 pelajar tahun akhir di bawah bimbingan 23 penyelia daripada lima bahagian iaitu Teknologi Instrumentasi, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Elektrik Kuasa.
Projek inovasi Mesin Bawang Dwifungsi dari kumpulan Bahagian Teknologi Kimpalan (Mekanikal) yang terdiri daripada Zahari Abdul Ghani (Penyelia), Mohamad Hariz Uzair Zailani, Amir Firdaus Ruslam dan Fakhry Husain Rashid menggondol Anugerah Inovasi Terbaik.
Tempat kedua menjadi milik dari kumpulan Bahagian Teknologi Instrumentasi(Elektrikal & Elektronik) yang dianggotai Nik Mohd Farid Nik Hassan (Penyelia), Alhasim Mohd Tahir, Syam Nazri Abdul Samat dan Nurul Asyikin Alias melalui ciptaan ‘Car Jumper Tool Kit.’
Mesin pemotong ubi kentang ciptaan Asziman Sukran (Penyelia), Muhamad Shahnun Nordin, Muhamad Rafi Suhaimi dan Anderson Anak Billie dari kumpulan Bahagian Teknologi Kimpalan (Mekanikal) di tempat ketiga.
Selain tiga projek itu dua lagi projek oleh dua kumpulan berasingan iaitu ‘Motorized Drift Trike dan ‘Smart E-Bag’ turut menerima Anugerah Emas manakala 10 pasukan menerima Anugerah Perak dan 15 pasukan menerima Anugerah Gangsa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan India Terengganu, Dr. Balachandra Gopal Krishnan dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Adtec Kemaman, Abdul Halim Abd. Rahman.
Pengerusi TICPRO, Wan Shaiful Hasrizam berkata, TICPRO merangsang penghasilan projek-projek berinovasi tinggi yang boleh diketengahkan ke pertandingan di peringkat yang lebih tinggi di samping pencetus budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar serta para pensyarah ADTEC Kemaman. – UTUSAN ONLINE










