KOTA BHARU 10 Nov. – Tidak peranan khusus akan diberikan kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini, kata Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin UMNO yang menyertai Bersatu tidak boleh memengang apa-apa jawatan tinggi untuk tertempoh tertentu sehingga satu pertimbangan dibuat.
“Dia (Mustapa) keluar daripada UMNO, dia bebas buat beberapa lama tetapi selepas itu dia minta menyertai Bersatu, dan kita dapati bahawa dia layak untuk diterima sebagai ahli parti Bersatu.
“Tiada peranan khusus untuk Tok Pa (Mustapa), sebenarnya pemimpin UMNO masuk Bersatu tidak boleh pegang jawatan-jawatan tinggi untuk tempoh-tempoh yang tertentu, dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Pakatan Harapan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peranan yang akan dimainkan oleh Mustapa dalam parti dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan Ahli Parlimen Jeli itu mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara khususnya dalam sektor pelaburan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas apakah beliau mempunyai maksud tersurat apabila menyarankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya membubarkan UMNO, Dr. Mahathir berkata :
“Saya sudah terangkan kepada Zahid dan ahli-ahli UMNO yang lain, tiada kemungkinan UMNO masuk dalam parti kita, kalau hendak masuk kena keluar dulu daripada UMNO duduk sebagai kecuali, sokongn kerajaan, PH, dan kalau mereka buat permohonan individu nak masuk, kita akan pertimbangkan.” – UTUSAN ONLINE










