Tiada ilmu kalam punca Melayu tidak berfikiran kritikal - Utusan Malaysia

Tiada ilmu kalam punca Melayu tidak berfikiran kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kegagalan orang Melayu di negara ini bangkit mempertahankan hak-hak milik mereka yang cuba dicabul pihak tertentu adalah kerana kurangannya ilmu kalam atau kemahiran untuk berfikir dan berhujah secara analitikal.

Rentetan itu, orang Melayu lebih selesa untuk menjadi pengikut atau ‘pak turut’ dalam sesuatu isu, malah lebih teruk lagi tidak berminat untuk ambil tahu walaupun melibatkan hal berkaitan hak dan kepentingan bangsa sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pengajian Islam dan Strategik (ISSI), Dr. Amran Mohamad berkata, perkara itu berlaku kerana ilmu kalam sudah lama tidak diamalkan dalam pembelajaran Islam kerana wujud kecenderungan untuk meremeh malah menafikan peranan dan keperluannya.

“Bukan orang Melayu sahaja malah umat Islam sudah lebih 100 tahun meninggalkan ilmu ini, sejak awal abad ke-20 lagi sebab ada golongan yang menafikan peranan ilmu ini terutama golongan literal dan hadis.

“Sebab itu kita hanya mampu jadi pengikut sahaja, kita tiada daya berfikiran secara kritikal. Bangsa lain seperti Cina mereka diajar berkenaan berfikir secara kritikal dalam sistem mereka sendiri sejak dari kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri forum Randau Majlis Perundingan Melayu (MPM) bertajuk Mengapa Umat Islam Memerlukan Metodologi Ilmu Kalam Untuk Merubah Pemikiran, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN