Tiada cukai baharu dijangka dalam Belanjawan 2019 - Utusan Malaysia

Tiada cukai baharu dijangka dalam Belanjawan 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Tiada sebarang cukai baharu seperti cukai keuntungan modal, cukai warisan dan cukai karbon dijangka diperkenalkan pada pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat ini.

Menurut Maybank IB Research, perkara itu dijangka tidak diumumkan berikutan Panel Semakan Sistem Cukai yang ditugaskan bagi pembaharuan sistem cukai hanya mula beroperasi bulan lalu dan akan mengemukakan cadangannya pada pertengahan 2019.

“Kami tidak menjangkakan adanya pengenalan cukai-cukai baharu dalam Belanjawan 2019, walaupun sebelum ini kerajaan ada menyebut me­ngenai cukai ke atas urus niaga dalam talian dan cukai karbon dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) serta spekulasi cukai keuntungan modal dan cukai warisan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cukai warisan sebenarnya bukanlah satu cukai baharu tetapi pernah dikenakan sekali sahaja di bawah Enakmen Duti Ladang 1941 sebelum dimansuhkan pada 1 November 1991,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Tambahnya, pengenalan cukai-cukai baharu dijangka hanya diumumkan pada Belanjawan 2020 dan seterusnya.

Ujarnya, di sebalik kekura­ngan perubahan dalam cukai pendapatan, pihaknya menjangkakan terdapat pelarasan dalam cukai jualan dan per­khidmatan (SST) dan cukai dosa (Sin Tax) serta pengenalan cukai soda dan hasil bukan cukai seperti dividen Petronas, jualan aset dan pengewangan serta pemulihan berkaitan 1MDB.

“Memandangkan kami berpendapat tidak ada cukai baharu yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 serta kemungkinan tiada kenaikan cukai pendapatan korporat dan peribadi kami menyaksikan potensi pelarasan dalam cukai dosa.

“Cukai dosa dalam industri perjudian belum disemak untuk tempoh yang agak lama. Bagi minuman beralkohol dan rokok, ia dikenakan cukai jualan 10 peratus di bawah rejim cukai jualan dan perkhidmatan (SST), isu bagi industri yang terjejas adalah sama ada terdapat penguatkuasaan yang berkesan untuk membendung pasaran ha­ram,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maybank IB berkata, inisiatif perumahan mampu milik di bawah RMK-11 dan Dasar Perumahan Negara 2.0 dijangka turut diperkenalkan pada belanjawan kali ini.

“Selain itu kami turut menjangkakan Belanjawan 2019 dapat menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), produktiviti dan teknologi penggunaan teknologi. PKS merupakan bahagian penting dalam ekonomi kerana ia mencakupi 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini