IPOH – Penamatan pelantikan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak (SEAC) tidak melibatkan sebarang campur tangan pihak Istana Perak.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan tidak meneruskan lantikan Yew Yin dibuat atas budi bicaranya dalam mencadangkan tokoh-tokoh tertentu untuk dilantik menganggotai majlis tersebut.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Yew Yin membuat dakwaan sangat serius terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak pada awal pemerintahan baginda sebagai Sultan Perak.
“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sama sekali tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan tidak meneruskan lantikan Yew Yin.
“Sebagai bekas Ketua Hakim Negara dan Yang di-Pertuan Agong kesembilan, Almarhum Sultan Azlan Shah sentiasa disanjung segenap lapisan masyarakat sebagai raja yang berjiwa rakyat dan telah meninggalkan legasi begitu besar kepada pembangunan negeri Perak serta negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.











