KOTA BHARU 14 Nov. – Kerajaan Pas Kelantan memaklumkan tiada sebarang bajet khusus yang diperuntukkan untuk golongan petani dalam menghadapi musim tengkujuh di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, sebaliknya kerajaan negeri ada menyediakan bantuan ‘Serambi Mekah’ bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa bencana sama ada kebakaran, banjir dan sebagainya.
“Setakat ini tiada bajet khusus untuk golongan petani kerana bantuan diberikan secara umum kepada mangsa bencana.
“Sebagaimana tahun lepas, kita masih lagi melihat keperluan petani dan sekiranya berlaku bencana, pihak kerajaan negeri masih lagi mencari alternatif untuk memberi bantuan sepatutnya.
“Kita juga sudah mempunyai jawatankuasa kebajikan ‘task force’ untuk menangani banjir dan semua pusat pemindahan sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Tunas Tani Al Falah di Min House Camp, Kubang Kerian, di sini hari ini.
Seramai 500 murid dari Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) di seluruh negeri ini mengambil bahagian dalam program tersebut.
Dalam pada itu, Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan negeri akan bersama kerajaan Pusat mencari jalan membantu nasib penoreh getah.
“Setakat ini kita sudah berbincang dengan kerajaan Pusat sebagai pihak yang paling bertanggungjawab dalam menentukan turun naik harga getah di negara ini.
“Kerajaan Pusat yang mempunyai autoriti dan kita harapkan selaku pihak bertanggungjawab sentiasa memikirkan nasib penoreh getah yang terganggu kehidupan mereka akibat kejatuhan harga getah itu,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










