SEREMBAN – Seorang jururawat wanita berdepan situasi cemas apabila dia dan anaknya berusia setahun enam bulan terperangkap hampir dua jam di bahagian belakang rumahnya di Taman Angsamas di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Noor Hasliana Mat Saad, 29, dan anak perempuannya sedang menyidai pakaian di bahagian belakang rumah satu tingkat yang dipasang jeriji besi tersebut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, mangsa kemudian menyedari pintu dapur rumahnya tertutup secara tiba-tiba dipercayai akibat ditiup angin.
“Dia cuba membuka pintu itu beberapa kali untuk masuk semula ke dalam rumah, tetapi gagal. Bahagian belakang rumah berkeluasan kira-kira 1 x 6 meter itu dipasang jeriji besi.
“Wanita itu memanggil seorang lagi anaknya berusia tiga tahun di ruang tamu supaya membuka pintu itu dari dalam juga gagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Syazwan berkata, anak sulung mangsa itu kemudian menghulurkan telefon bimbit melalui bawah pintu bagi membolehkan ibunya menelefon bapanya bagi mendapatkan bantuan.
Kata beliau, bapa mangsa yang bimbangkan keselamatan ahli keluarganya kerana sedang menjalani kursus di Selangor menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
“Kami tiba terima panggilan kecemasan pada pukul 8.46 malam dan tiba di rumah itu pada pukul 9.03 malam.
“Anggota bomba mengambil masa selama 20 minit untuk membuka jeriji bagi melepaskan kedua-dua mangsa,” katanya. – K! ONLINE










