RANTAU PANJANG 13 Nov. – Seorang lelaki yang bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Golok dikatakan selepas terkejut ditegur anggota keselamatan Thailand ditemukan mati akibat lemas pada pukul 11 pagi tadi.
Mayat Mohd. Sayuti Nawi, 38, ditemukan kira-kira 800 meter dari tempat dia dikatakan terjun di Pangkalan Parking, di sini malam kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Mohd. Adni Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemukan lengkap dengan pakaian dan kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan selanjut.
“Kita gunakan teknik tolakan arus untuk mengesan mayat mangsa.
“Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil apabila mayat mangsa kemudiannya timbul,” katannya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa Mohd. Sayuti yang ketika itu sedang menunggu bot untuk menyeberangi sungai ke sebelah Malaysia didakwa bertindak di luar jangkaan apabila terkejut ditegur anggota keselamatan Thailand.
Saksi, Mat Jusoh, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu sampan untuk menyeberang ke Rantau Panjang bersama beberapa lagi penumpang termasuk mangsa.
Menurutnya, mangsa yang ketika itu berada di sebelahnya telah terjun ke sungai secara tiba-tiba apabila ditegur oleh pihak berkuasa Thailand.
“Ekoran tindakan itu, mangsa yang
memakai Jeans dan baju t-shirt telah hanyutkan arus deras Sungai Golok.
“Saya tidak berani untuk terjun membantu mangsa memandangkan arus deras ketika itu,” katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dikatakan pulang ke rumah isterinya di Thailand. – UTUSAN ONLINE










