KUALA TERENGGANU 7 Nov. – Kerajaan negeri akan mengekalkan pemberian Dana Bakti Remaja di samping peruntukan pengurusan bagi persatuan-persatuan belia dalam Belanjawan 2019 Terengganu yang akan dibentangkan akhir bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kedua-dua bantuan tahunan itu bagaimanapun akan ditambah baik dengan mekanisme baharu agar dapat memenuhi matlamat sebenar pemberian kepada golongan sasar.
“Berkenaan Dana Bakti Remaja yang ada pada sesi lepas, kita tidak potong begitu sahaja tetapi InsyaAllah kita akan teruskan dengan mekanisme yang jauh lebih sesuai dan baik untuk para belia.
“Begitu juga dengan peruntukan untuk persatuan belia, masih diteruskan cuma mekanismenya yang akan diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Nurani Warga Kerja di Dewan Teater, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Kerajaan Pas pada Jun lalu telah meneruskan pembayaran Dana Bakti Remaja yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada 16,289 orang lagi yang masih belum menerima insentif itu.
Dana berkenaan telah diagihkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh kerajaan terdahulu dan daripada jumlah itu, seramai 100,995 orang telah menebus dana itu hingga 9 Mei lalu manakala baki seramai 16,289 orang masih belum menuntut baucer tunai.
Dalam Belajawaan 2018 Terengganu, sebanyak RM2.25 juta diperuntukkan bagi program Memperkasa Persatuan Belia dengan agihan RM5,000 bagi setiap persatuan aktif.
Pembentangan Belanawan 2019 Terengganu dijadualkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 25 hingga 29 November ini. – UTUSAN ONLINE










