KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini memutuskan untuk melantik semula Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden persatuan itu bagi penggal 2018-2022. Kongres yang disertai 52 daripada 96 ahli gabungan FAS di sebuah hotel di ibu kota turut sebulat suara memilih barisan baharu Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang mengandungi seorang Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 13 ahli Exco. Mereka ialah Datuk Muhammad Nasir Hamzah sebagai Timbalan Presiden FAS manakala Datuk Ariffin Ab. Hamid, Omar Ali, Hamdan Hashim dan Roslin Shariff sebagai empat Naib Presiden persatuan. Omar berkata, “tujuan kami juga mengadakan Kongres Luar Biasa FAS ini adalah untuk membersihkan nama kami yang selama ini dianggap penentang Tengku Amir Shah sebagai Presiden FAS. “Lima puluh dua daripada 96 ahli gabungan FAS yang hadir hari ini mewakili 50 peratus yang layak untuk mengadakan kongres ini dan memilih Exco baharu, menurut Perlembagaan persatuan,” katanya pada sidang akhbar sejurus kemudian. Kongres ini juga menurut Jawatankuasa Penyelarasnya dianggap sah dan mematuhi Artikel 34.1 Perlembagaan FAS 2010. Exco baharu ini katanya turut berharap Tengku Amir menerima keputusan pelantikan oleh kongres ini namun mereka belum bersedia untuk mencalonkan nama lain sebagai pengganti sekiranya baginda menolaknya. Kata Omar, Exco baharu FAS juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman di pejabatnya di Bukit Jalil selewat-lewatnya Isnin ini setelah menyiapkan segala dokumen yang diperlukan.










