KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai tempoh masa enam bulan untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas, bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa telah dihantar kepada Datin Seri Rosmah Mansor oleh seorang peniaga barang kemas Lubnan telah dirampas polis.
Afidavit sokongan oleh Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Superintendan Foo Wei Min, menyatakan pihaknya belum berada pada kedudukan yang boleh mengesahkan secara bersumpah bahawa kesemua 44 unit barang kemas yang ditemui dalam suit yang diserbu polis itu adalah sebahagian daripada barang kemas telah dirampas polis.
“Pada bulan Mei tahun ini, kira-kira 12,000 unit barang kemas dirampas oleh unit kami daripada serbuan-serbuan yang dilakukan ke atas premis-premis dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Soal sama ada 44 unit barang kemas yang ditemui di dalam suit berkenaan adalah sebahagian daripada barang kemas yang dirampas, kami belum berada pada kedudukan yang boleh menyatakannya secara bersumpah, kerana kami masih ada enam bulan, sehingga bulan Mei 2019 untuk membuat pengesahan, dengan bantuan pakar.
“Saya sedar bahawa mengikut Seksyen 56 Akta 613, jika berkenaan dengan apa-apa harta yang disita di bawah Akta ini tiada pendakwaan atau sabitan bagi suatu kesalahan atau suatu kesalahan membiayai keganasan, Pendakwa Raya boleh, sebelum tamat tempoh dua belas bulan dari tarikh penyitaan itu, atau jika terdapat suatu perintah pembekuan, dua belas bulan dari tarikh pembekuan itu, memohon kepada seorang hakim Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan suatu perintah pelucutkan harta itu. Tempoh statutori 12 bulan itu berakhir pada Mei 2019,” katanya.
Pada 11 Oktober, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin memerintahkan pihak kerajaan memfailkan afidavit bagi mengesahkan sama ada 44 barang kemas yang didakwa telah dihantar kepada Rosmah oleh peniaga barang kemas Lubnan itu telah dirampas oleh polis. – Bernama










