KUALA LUMPUR 9 Nov. – Walaupun mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama kempen Piala AFF namun persembahan Harimau Malaya ketika menentang Kemboja jauh daripada memuaskan.
Hanya jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30 memastikan Malaysia mengutip mata penuh di Phnom Penh, walaupun menguasai sepenuhnya permainan terutama pada babak pertama dengan bahagian hadapan anak-anak buah Tan Cheng Hoe jelas tumpul.
Jika berhajat untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan dwitahunan itu, Malaysia perlu bermain lebih kemas terutama di dalam kawasan penalti lawan dan perkara ini diakui oleh Cheng Hoe yang berkata persembahan anak-anak buahnya perlu dipertingkatkan selain tidak mempersiakan peluang yang dicipta.
“Saya fikir persembahan pemain secara keseluruhan perlu dipertingkatkan. Memang kalau secara keseluruhan pada babak pertama kita kelihatan agak kelam-kabut tetapi selepas menjaringkan gol pemain mula mendapat keyakinan.
“Babak kedua, kita banyak mensia-siakan peluang yang ada. Saya harap untuk perlawanan seterusnya pemain dapat tingkatkan prestasi mereka,” katanya.
Namun dia turut mengingatkan peminat bahawa perlawanan sulung sentiasa sukar kepada mana-mana pasukan kerana masih belum mendapat rentak.
“Memang dalam mana-mana pertandingan, perlawanan pertama sukar untuk dapatkan momentum tambahan pula bermain di atas padang tiruan yang sedikit sebanyak menjejaskan hantaran.
“Walau bagaimanapun, pemain tetap menunjukkan komitmen yang tinggi dan akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata penting,” katanya.
Kempen Piala AFF 2018 menyaksikan Malaysia dan Kemboja berada dalam Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Myanmar dan Laos.
Vietnam kini menerajui persaingan berbekalkan kelebihan gol ke atas Malaysia selepas menumpaskan Laos 3-0 di Vientiane malam tadi.










