KUALA LUMPUR – Marina Island Pangkor Resort & Hotel (Marina Island) mahu menjadi lokasi percutian popular di Perak selain menjadi pusat persinggahan sebelum melancong ke Pulau Pangkor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ding Mei Looi berkata, untuk tujuan tersebut syarikat akan meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi pada tahun depan bagi menarik minat pelancong asing dan tempatan berkunjung ke situ.
Menurut beliau, kira-kira 700,000 pelancong berkunjung ke Pulau Pangkor setahun dan pihaknya mahu jumlah itu bertambah kepada satu juta pengunjung setahun pada masa depan.
“Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 20 peratus pelancong yang merancang percutian ke Pulau Pangkor bakal memilih Marina Island untuk menjadi destinasi penginapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual bersama media di pejabatnya di Marina Island, Teluk Muroh, Lumut, Perak baru-baru ini.
Mei Looi menjelaskan, selain penginapan di Marina Island, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan untuk bersantai, beriadah dan menjamu selera.
Tambah beliau, antara tarikan terbaharunya ialah Frenzy Hippo Water Park yang mana ia memiliki kelainannya berbanding taman tema air lain serta bersesuaian untuk semua peringkat umur.
Beliau berkata, memandangkan lagun tersebut tidak berombak jadi permainan yang terdapat di situ memudahkan pengunjung malah ia dapat mengukuhkan hubungan rakan-rakan atau ahli keluarga yang mencubanya.
“Taman tema itu telah dibuka kepada umum dan harga tiket yang ditawarkan adalah berpatutan.
“Lebih menarik, kami menyediakan bakul berkelah yang diisi dengan makanan serta minuman kepada kumpulan atau keluarga untuk membolehkan mereka menjamu selera tatkala beriadah dalam taman tema tersebut,” jelasnya.
Selain itu, syarikat juga telah membangunkan sebuah pentas terapung yang mana ia merupakan sebuah platform yang boleh dijadikan sebagai dewan terapung berukuran 10,000 kaki persegi yang terapung di permukaan air di lagun tersebut.
Platform tersebut bersesuaian untuk penganjuran majlis makan malam dan majlis perkahwinan yang bakal dihias indah dengan lampu-lampu menarik.
“Kami melabur kira-kira RM1 juta untuk membangunkan projek tersebut dan ia bakal menjadi antara daya penarik kepada majlis penganjuran syarikat korporat, badan kerajaan dan persendirian.
“Harga pakej yang dijual secara minimumnya bernilai RM20,000, namun ia boleh dibincang mengikut bajet pelanggan,” jelasnya.










