Musim cuti persekolahan bakal kembali. Ramai yang sudah mula membuat perancangan untuk pergi bercuti bersama rakan atau keluarga.
Pergi bercuti memang sesuatu yang diimpikan dan ia memerlukan peruntukan kewangan.
Salah satu usaha yang boleh diambil adalah dengan merangka bajet percutian yang seterusnya dapat membantu ekonomi keluarga.
Tiada panduan asas berapa jumlah yang sepatutnya diperlukan untuk percutian keluarga. Bagaimanapun, dicadangkan peruntukan yang tidak membebankan adalah antara RM500 sehingga RM1,000.
Perkara berikut boleh dilakukan dalam merancang percutian keluarga:
1. Bincang bersama pasangan, anak-anak dan ahli keluarga – Perkara ini jarang dilakukan dalam masyarakat kita di Malaysia. Libatkan anak-anak dalam perbincangan mengenai percutian keluarga. Ini menyebabkan mereka lebih rasa dihargai. Berikan tanggungjawab kepada mereka misalnya cadangan lokasi atau aktiviti yang ingin dilakukan semasa percutian.
2. Menyediakan senarai keperluan diri, anak-anak dan keluarga – Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, keperluan pakaian dan perubatan amat diperlukan semasa pergi bercuti.
3. Menyenaraikan destinasi atau tempat-tempat menarik berpotensi yang ingin dilawati – Ini dapat membantu keluarga untuk merancang perjalanan mereka terutamanya yang menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
4. Penyediaan keperluan makan dan minum keluarga – Masak sendiri atau menyediakan makan secara sejuk beku secara tidak dapat langsung menjimatkan kos serta lebih bersih dan berkhasiat berbanding makan di luar.
5. Menyediakan Bajet Percutian – Ini amat penting dalam memastikan perbelanjaan percutian tidak melebihi keupayaan kewangan keluarga.
6. Sentiasa membuat perbandingan harga – Menggunakan kemudahan yang ada termasuk platform-platform online dalam membandingkan kadar tambang atau bentuk penginapan, selain meninjau promosi-promosi menarik dan menguntungkan yang ditawarkan sempena cuti sekolah.
Disarankan agar perancangan teliti dan berhemah diambil dalam menyediakan bajet percutian keluarga agar masa yang diluangkan bersama lebih bermakna.
Jangan mengikut emosi dan nafsu dalam merancang percutian. Selamat bercuti.
Oleh DR. MOHAMAD FAZLI SABRI
lPROF. MADYA DR. MOHAMAD FAZLI SABRI ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia dan Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).
Oleh Dr. Mohd. Yusof Saari
lDr. Mohd. Yusof Saari adalah pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan UPM.










