Tanah runtuh: Enggan bekerjasama boleh ditahan - Polis - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Enggan bekerjasama boleh ditahan – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 3 Nov. – Polis tidak menolak kemungkinan memanggil semula individu yang pernah memberikan keterangan berhubung tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, yang mengorbankan sembilan nyawa 19 Oktober lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, pada masa sama, beberapa individu lagi akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung tragedi tersebut.

Katanya, sehingga semalam, seramai 45 individu termasuk kontraktor projek, subkontrator, pakar-pakar berkaitan serta beberapa petugas daripada agensi berkaitan yang terlibat dalam projek membangunkan jalan raya berkembar itu telah dipanggil untuk tujuan yang sama.

“Dalam hal ini, polis juga tidak teragak-agak menahan mana-mana individu yang enggan memberikan kerjasama seandainya diperlukan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, kesemua yang dipanggil setakat ini memberi kerjasama baik dan kita berharap siasatan kes itu dapat dilengkapkan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, ketika ini, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Zainol Samah masih menyiasat kes itu secara terperinci termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian dalam tragedi berkenaan.

Kata Thaiveegan, hasil siasatan kemudian akan diserahkan kepada Pengarah Bahagian Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN