Tambah cawangan KFC, Pizza Hut - Utusan Malaysia

Tambah cawangan KFC, Pizza Hut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – QSR Brands (M) Holding Bhd. (QSR Brands), menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 67 buah cawangan restoran KFC dan 60 buah cawangan restoran Pizza Hut menjelang akhir 2021.

Pada masa ini, pemegang francais rangkaian restoran perkhidmatan segera KFC dan Pizza Hut itu mengendalikan sejumlah 810 buah restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja serta 380 cawangan Pizza Hut di Malaysia dan 80 di Singapura.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Moha­med Kamil berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd. bagi membuka 50 cawangan pandu lalu KFC di stesen-stesen Petronas di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami juga merancang untuk menaik taraf sebahagian restoran yang ada bagi menampilkan imej yang lebih segar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Kepong Industrial Park Group of Company di sini ­semalam.

Menerusi perjanjian tersebut, QSR Brands akan membuka dua cawangan restoran KFC pandu lalu di pusat beli-belah dan pasar raya milik Kepong Industrial Park Group menjelang suku keempat tahun 2019.

Dua lokasi terlibat adalah Kip Mall Desa Coalfields di Sungai Buloh, Selangor dan Kip Mart Lavender di Senawang, Negeri Sembilan.

Menurut Mohamed Azahari, syarikat kini menuju ke arah mo­del perniagaan yang menjalankan kerjasama dengan pelbagai industri termasuk syarikat pemaju yang mempunyai bila­ngan trafik yang lebih tinggi.

Beliau memaklumkan KFC dan Pizza Hut masing-masing mene­rima 25 juta dan 6 juta pe­langgan sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN