Tahap kesedaran rakyat tentang kesihatan pergigian masih rendah - Utusan Malaysia

Tahap kesedaran rakyat tentang kesihatan pergigian masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Tahap kesedaran tentang penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan kebanyakannya memandang mudah isu tersebut.

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr. Nomah Taharim berkata, sikap mengambil mudah mengenai kepentingan pemeriksaan berkala pergigian boleh mengundang kepada risiko penyakit bahaya seperti ‘periodontal’ atau penyakit gusi.

“Sikap sambil lewa sesetengah individu hanya berjumpa doktor apabila gigi sakit atau sudah longgar perlu diubah agar rawatan awal boleh diambil bagi mengelak daripada risiko penyakit bahaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian warga Kolej Komuniti ‘Transformation With 1 Smile Together’ (TW1ST) peringkat negeri di Ayer Keroh di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, penyakit gusi boleh diubati sekiranya pesakit mengenal pasti tanda-tanda awal dan menurutnya kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan memberikan rawatan dan mempromosikan amalan penjagaan kesihatan gigi yang betul.

“Ada juga yang bertanya kenapa gigi tak berlubang tetapi berasa ngilu? (Sebenarnya) gusi yang tak sihat lama-lama akan menurun hingga mendedahkan akar gigi seterusnya longgar dan terpaksa dicabut.

“Jika terdapat tanda-tanda awal seperti gusi bengkak dan berdarah (ketika menggosok gigi), segeralah mendapatkan rawatan lanjut bagi mencegah kerosakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Nomah berkata, negara masih belum mencapai sasaran satu doktor gigi untuk 1,500 penduduk dengan nisbahnya ketika ini adalah satu doktor gigi bagi 3,728 penduduk. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini