KOTA BHARU 10 Nov. – Kerajaan Pas Kelantan masih belum berpuas hati dengan tahap kebersihan di premis-premis makanan di negeri ini yang boleh menimbulkan imej negatif terutamanya kepada pengunjung luar selain masalah kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) seperi Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) semakin aktif menggiatkan pemeriksaan demi memastikan pengusaha kedai makan mematuhi peraturan.
Dr Izani berkata, beliau kesal kerana kebanyakan premis yang kerap disita adalah kedai makan yang sama malah maju dari sudut perniagaan tetapi tidak menghiraukan keselamatan pelanggan.
“Saya minta semua PBT lebih agresif untuk memantau dan menangani isu kebersihan di di negeri ini, biasanya kedai yang maju yang biasa kena sita.
“Sepatutnya premis maju menggaji pekerja khusus untuk mengelap meja, mencuci premis dan memastikan keselamatan makanan mengikut peraturan ditetapkan, negeri kita sudah terkenal dengan makanan sedap, tinggal lagi kita kena tingkatkan kebersihan, keceriaan kedai dan jangan kenakan caj melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Penyakit Berjangkit Selepas Banjir anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) di Masjid Saadatul Ikhwan di Kampung Penambang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat program, Dr Sabreena Safuan dan Pengarah program, Chong Choi Yen.
Seramai 200 penduduk kampung hadir dalam program bertujuan memberi kesedaran mengenai langkah-langkah penting perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berjangkit pasca banjir seperti taun, demam kepialu, kencing tikus, demam denggi dan malaria. UTUSAN ONLINE










