Syafiq-Tze Liang bergaya raih emas - Utusan Malaysia

Syafiq-Tze Liang bergaya raih emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGORBANAN atlet terjun kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh selama sebulan akhirnya membuahkan hasil apabila merangkul pingat emas bersama gandingannya, Ooi Tze Liang menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki pada kejohanan Grand Prix Terjun FINA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Syafiq-Tze Liang kekal konsisten pada setiap terjunan untuk mencatatkan 368.64 mata, sekali gus mengatasi gandingan Singapura, Timothy Lee-Mark Lee yang mendapat pingat perak serta pasangan Croatia, Hrvoje Brezovak-Juraj Melsa (gangsa).

Syafiq mengakui, dia nekad me­ningkatkan darjah kesukaran terjunan daripada 3.0 kepada 3.4 hingga 3.5 bagi membolehkannya melakukan terjunan setaraf dengan penerjun Olimpik, Tze Liang.

“Ini kali pertama saya lakukan darjah terjunan baharu kerana saya ingin mencabar kebolehan diri. Saya berasa lega kerana dapat melakukan yang terbaik.

“Tekanan agak tinggi juga kerana saya perlu menjaga air muka penerjun senior. Kesilapan saya mampu mencacatkan hasil terjunan kami.

“Saya hanya sempat habiskan masa sebulan untuk mahir dalam darjah terjunan tersebut. Kemenangan ini bakal jadi penyuntik semangat bagi menghadapi cabaran akan datang,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Sementara itu, Kimberly Bong berjaya menyumbangkan pingat perak menerusi acara 3m papan anjal wanita individu, manakala pingat emas menjadi milik penerjun China, Ma Tong dan pingat pe­rak pula digenggam Kate Rosman dari Australia.

“Saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan saya selama dua hari ini. Pingat perak ini me­rupakan pencapaian terbaik saya musim ini,” ujar Kimberly.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×