SEPANG 3 Nov. – Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi dari Idemitsu Honda Team Asia menempah barisan kesembilan bagi memulakan perlumbaan dalam Grand Prix (GP) Malaysia esok selepas menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-25, sebentar tadi.
Pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak berusia 20 tahun itu berada di barisan ketiga terakhir untuk memulakan perlumbaan sebenar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok selepas mencatat masa 2 minit 7.683 saat (s) sepusingan.
Pelumba Sepanyol, Alex Marquez dari EG 0,0 Marc VDS menempah grid pertama selepas mencatat masa terpantas 2:5.629s, diikuti Luca Marini (Sky Racing Team VR46) 2:6.117s di tempat kedua, manakala ketiga Fabio Quartararo (MB Conveyors – Speed Up) 2:06.295s.
Kedudukan terbaik Khairul Idham yang juga dikenali Super KIP untuk musim keduanya di Moto2 adalah di GP Perancis pada 20 Mei lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.- UTUSAN ONLINE











