LAMPU limpah terbaik yang disediakan oleh pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim ini mampu mengembalikan kehangatan saingan pada waktu malam selain menarik beberapa perlumbaan berprestij kembali dianjurkan di Malaysia.
Selepas tujuh tahun, perlumbaan berprestij di Jepun iaitu Super GT bersetuju menjadikan Malaysia sebagai destinasi perlumbaan seterusnya, namun ia akan berlangsung pada 2020 nanti dan lebih menariknya saingan tersebut diadakan waktu malam.
Kali pertama perlumbaan Super GT Jepun dianjurkan di Malaysia pada tahun 2000, namun ia sebagai acara pertunjukan dan musim 2013 merupakan perlumbaan terakhir dengan saingan diadakan waktu siang.
Kali ini, SIC sah menjadi destinasi perlumbaan tersebut selepas penganjur acara, HARO Sports dan Entertainment telah mencapai persetujuan dengan penganjur siri GTA berkenaan untuk melangsungkan pusingan perlumbaan di Malaysia.
Pengerusi GTA, Masaaki Bandoh ternyata teruja dengan kembalinya Super GT Jepun ke bumi Malaysia dan menuntut kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan perlumbaan itu berlangsung meriah.
“Kami harap bukan hanya pemandu, pasukan dan pengeluar kereta tetapi semua yang terlibat dalam Super GT akan bekerja bersama dengan penganjur HARO dan staf tempatan yang terlibat dengan operasi di Sepang.
“Tujuan utama adalah untuk membantu masyarakat Malaysia berkongsi keseronokan sukan permotoran dan mewujudkan acara perlumbaan berasaskan perkongsian persefahaman dan budaya automobil.
“Pada masa sama, saya harap menerusi Super GT kami boleh menyumbang untuk saling mempromosikan antara satu sama lain, sekali gus akan membina persahabatan antara Malaysia dan Jepun,” kata Bandoh.
Antara pelumba yang menempa nama pada saingan Formula Satu (F1) yang memulakan karier mereka dalam saingan Super GT Jepun termasuk Ralf Schumacher, Pedro de la Rosa.
Super GT Jepun juga menjadi pilihan bekas pelumba F1 meneruskan karier mereka, antaranya Jeson Button (McLaren Honda).
Selain pelumba dan pasukan, Super GT Jepun juga terkenal dengan kehadiran gadis litar atau lebih dikenali dengan gelaran ‘GT Queens’.
Tugas GT Queens bukan sahaja sebagai penyeri litar tetapi memainkan peranan penting dalam mempromosikan perlumbaan itu kepada media dan orang ramai.










