Suntikan terbaik ke Olimpik - Utusan Malaysia

Suntikan terbaik ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria me­nyambut baik peruntukan sebanyak RM100 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2019 sebagai persiapan buat atlet negara ke Sukan ­Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Norza berkata, peruntukan tersebut disifatkan sebagai satu inisiatif terbaik bagi menamatkan penantian emas pertama negara pada temasya sukan berprestij di dunia tersebut.

Pada masa sama katanya, ia turut menyuntik semangat ­atlet terlibat khususnya kepada sukan yang berupaya memenangi emas agar bekerja lebih keras pada temasya yang bakal berlangsung pertengahan Julai 2020.

“MOM sentiasa menyokong dan berbesar hati menerima inisiatif seumpama itu dalam usaha menamatkan kemarau pingat emas Olimpik yang ditunggu bertahun-tahun lamanya.

“Menerusi peruntukan sebanyak RM100 juta itu, kita yakin segala perancangan dan persiapan untuk bersaing pada Sukan Olimpik dapat berjalan dengan lancar.

“Berdasarkan jumlah tersebut juga, kita boleh melakukan perancangan lebih terperinci seperti menambah bilangan jurulatih dalam usaha memperkemaskan lagi prestasi dan kemampuan atlet sedia ada.

“Kita yakin dengan adanya peruntukan itu, kita juga dapat membantu mana-mana atlet untuk beraksi pada pusingan kelayakan tahun depan selain beberapa kejohanan berskala lebih besar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng me­ngumumkan peruntukan RM100 juta sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 dengan harapan mampu membawa pulang pingat emas pertama negara.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengharapkan pihak swasta dapat memberikan komitmen lebih baik memandangkan kerajaan turut yakin dengan kemampuan atlet negara berdasarkan peruntukan yang diberikan.

“Komitmen dan kepercayaan yang diberikan kerajaan ini diharapkan dapat menyuntik semangat pihak swasta untuk terlibat sama dalam menggalas misi Sukan Olimpik 2020.

“Kita mahu kedua-dua pihak saling berganding bahu kerana saya percaya kerjasama ini bakal memberikan output yang lebih baik terhadap peranca­ngan besar negara supaya boleh dicapai dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN