KUALA LUMPUR 11 Nov. – Pengendali Laos, V. Sundramoorthy berharap tuah 2015 bersama pasukannya menjelang pertemuan kedua Kumpulan A Piala AFF menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Tiga tahun lalu bekas pemain Singapura itu membimbing skuad muda negaranya mencipta kejutan untuk memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan akhir.
Pernah membimbing Negeri Sembilan dalam kempen Liga Super, bekas pemain Kedah itu bakal sekali lagi mengharapkan kejayaan yang sama di Bukit Jalil untuk memburu kemenangan pertama mereka dalam kempen Piala AFF.
“Saya masih ingat memori itu sampai sekarang. Sudah tentu saya harap tuah stadium ini (Stadium Nasional, Bukit Jalil) dapat membantu kami (Laos) meraih kemenangan.
“Namun semuanya terletak di tangan pemain apabila beraksi nanti,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan, di sini hari ini.
Laos memulakan kempen Piala AFF dengan tewas 0-3 kepada Vietnam di Vientiane, berbeza dengan Malaysia yang bermula langkah kanan walaupun terpaksa bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Kemboja, di laman lawan.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Malaysia, Sundramoorthy menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan berbanding skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri.
“Setakat ini kami berada pada tahap terbaik walaupun tewas kepada Vietnam. Bagi saya, Vietnam adalah pasukan pilihan dan begitu juga dengan Malaysia),” ujarnya.










