SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila ada segelintir pemimpin Islam di negara ini yang menyokong tuntutan golongan fahaman liberal yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan boleh memesongkan akidah.
Titah baginda, fahaman negatif itu sepatutnya perlu segera ditangani dan dibenteras hingga ke akar umbi dengan mencari jalan penyelesaian terbaik demi memelihara kesucian Agama Islam.
“Fahaman liberalisme ini telah berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam sehingga muncul golongan yang menuntut kesamarataan gender, perkahwinan sesama jantina, menolak para ulama, wanita menjadi imam solat dan wali perkahwinan, menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain serta tuntutan kebebasan beragama serta menukar agama sesuka hati.
“Beta amat khuatir jika pemikiran ini tidak dibendung secara serius, ia mungkin akan menjadi satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan agama Islam di negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah 2018 dan Pelancaran Buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin dalam pada itu menititahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantapkan tindakan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam atau yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng. – K! ONLINE











