Sultan Nazrin laksana tanggungjawab Agong - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin laksana tanggungjawab Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menandata­ngani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

Istiadat yang berlangsung di Istana Hinggap Perak di sini dimulakan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membaca watikah perisytiharan berkenaan.

Baginda kemudian menandatangani watikah itu.

Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Seri Paduka.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setia­usaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, Istana Negara secara rasmi memaklumkan bahawa Sultan Muhammad V sedang beristirahat menjalani rawatan.

“Selaras dengan Perkara 33 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Seri Paduka (Sultan Muhammad V),’’ katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN