KUALA LUMPUR 4 Nov. – h asrat kerajaan untuk memberikan subsidi petrol RON95 bagi pemilik kereta berkapasiti kuasa enjin 1,500cc dan ke bawah dilihat sukar direalisasikan selain boleh menimbulkan pelbagai masalah lain.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara masalah yang mungkin timbul adalah ketirisan selain matlamat untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam juga dikhuatiri tidak mampu dicapai.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan yang sanggup mengetepikan hak rakyat negara ini yang memandu kenderaan keluaran negara, Proton berikutan kebanyakannya berkapasiti enjin 1,6cc.
Keadaan itu katanya, diburukkan lagi dengan jangkaan bahawa akan berlaku peningkatan harga barangan keperluan menjelang tahun hadapan.
“Kalau ikut pendapat saya daripada ikut cc (kuasa enjin) kereta, lebih baik bagi keadilan kepada semua. Sebab tidak semua mampu pakai (beli) kereta. Ada yang guna pengangkutan awam.
“Baik bagi duit cash (tunai) pada yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Dalam masa terdekat ini, kita kena terima hakikat beberapa barangan akan naik harga termasuk kos pengangkutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pemberian subsidi petrol kepada pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah dalam Belanjawan 2019 yang menimbulkan pertikaian berikutan ada kenderaan berjenama mewah turut termasuk dalam kategori tersebut.
Dalam masa sama, Hamzah berkata, beliau meragui cadangan penggunaan kad untuk petrol subsidi yang dilihat mudah disalahgunakan.
“Mungkin ada yang guna kad untuk kenderaan lain atau memberikan kad itu kepada pihak ketiga bagi mendapatkan wang tunai,” katanya.










