Suka bersendirian, lakukan perkara secara sembunyi tanda ketagihan dadah - Utusan Malaysia

Suka bersendirian, lakukan perkara secara sembunyi tanda ketagihan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Selalu mengasingkan diri dari kelompok masyarakat, suka bersendirian dan melakukan sesuatu perkara secara sembunyi-sembunyi merupakan antara tanda amaran dan ketagihan dadah yang perlu diketahui oleh masyarakat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penyalahgunaan dadah di Malaysia semakin berleluasa, mencapai tahap membimbangkan dan menjadi ancaman besar kepada negara dan perkara itu terjadi antara lain kerana faktor kurang kesedaran serta pengetahuan masyarakat mengenai bahaya dadah.

“Mutu kerja menurun, kebersihan dan kesihatan diri tidak terurus, meninggalkan perkara kegemaran sebelumnya, mudah marah dan meminta wang berlebihan dan mengambil wang tanpa izin merupakan amaran dan tanda-tanda seseorang itu ketagihan dadah.

“Ketagihan dadah boleh menyebabkan gangguan terhadap ketenteraman kejiranan atau masyarakat setempat. Ketagihan melampau boleh mendorong jenayah curi, ragut, ugut, pukul dan sebagainya bagi mendapatkan sumber kewangan secara paksa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Lam Thye, pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang terbaik bagi melindungi seseorang daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

 

“Bagi mencapai tujuan ini, seseorang  itu perlu membina perwatakan serta kesedarannya tentang bahaya dadah sebagai perisai diri daripada dipengaruhi oleh anasir yang menyebabkan ia terperangkap dengan dadah.

 

“Dengan wujudnya kekuatan ini, setiap individu akan berjaya mencegah dirinya daripada gejala negatif ini walaupun tidak mudah dan senang diperoleh. Strategi ini dianggap paling berkesan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN