Sudah-sudahlah, jangan sampai rakyat meluat - Utusan Malaysia

Sudah-sudahlah, jangan sampai rakyat meluat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM bulan selepas me­ng­ambil alih pentadbiran negara, masih ada menteri-menteri Kabinet dan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menuding jari menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Memang dalam politik, lumrah untuk sesuatu pihak yang berjaya mengambil alih pentadbiran meletak kesalahan ke atas kerajaan terdahulu, tetapi sekiranya terlalu kerap ‘mengungkit’ boleh memakan diri.

Rakyat menolak BN kera­na sudah tidak tahan dan tahu silap serta salahnya pentadbiran kerajaan itu. Rakyat telah memilih PH untuk memperbaikinya dan menerajui negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, keraja­an PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewajarnya boleh bergerak ke hadapan dan memfokus kepada merea­lisasikan segala janji-janji ditabur kepada pengundi sebelum ini.

Janganlah sikit-sikit diungkit kesalahan kerajaan dulu. Sedangkan pakatan itu telah pun enam bulan mengambil alih pentadbiran negara, cukuplah berbulan madu.

Sepatutnya, ketika ini kerajaan berbicara soal strategi, langkah dan pelan konkrit untuk merealisasikan janji-janji mensejahterakan rakyat, sekali gus memacu Malaysia ke landasan yang betul.

Apa yang dizahirkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin semalam supaya kerajaan PH memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat dan melupakan perkara yang telah berlaku pada masa lalu wajar diambil sebagai peringatan.

Daim tidak akan bercakap perkara tersebut sekiranya beliau tidak mengesan apa-apa riak perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

Hakikatnya, sudah ada cakap-cakap dalam kalangan rakyat, waima di media sosial, warung kopi mahu pun pantri pejabat yang ‘rimas’ dengan sikap sesetengah menteri Kabinet asyik mengungkit kesalahan kerajaan terdahulu.

Yang lepas biarkan lepas. Kerajaan BN telah ditumbangkan dan setelah enam bulan mentadbir negara, sepatutnya tumpuan adalah kepada rakyat, bukannya lagi tuding menuding jari kepada kerajaan terdahulu.

Sekiranya ingin terus menambat hati rakyat, buatlah kerja, laksanakan janji. Ja­ngan terus-menurus menyalahkan pihak itu, pihak ini.

Rakyat sudah mula rimas. Jangan sampai rakyat meluat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×