SHAH ALAM – Jangan sekadar memberi kritikan ‘kosong’ tentang pelaksanaan mekanisme baharu subsidi petrol bersasar, sebaliknya salurkanlah teguran serta pandangan ke arah penyelesaian isu terbabit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kritikan membina itu mungkin dapat membantu kerajaan yang kini sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mencari kaedah paling sesuai merangka mekanisme subsidi bersasar terbaik supaya pemberiannya kelak akan lebih lancar kepada golongan terlibat.
“Kritikan dan teguran (daripada mana-mana pihak) boleh tetapi adalah lebih baik beri juga kaedah penyelesaiannya (mekanisme subsidi petrol bersasar).
“Berilah kami dua ke tiga bulan untuk mewujudkan mekanisme tersebut. Kami harap pengusaha stesen minyak, syarikat petrol dan persatuan pengguna boleh salurkan maklumat kepada kerajaan dalam isu ini kerana ia penting supaya penyaluran subsidi lebih telus,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke kilang coklat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd., di Seksyen 15, di sini hari ini.
Tambah beliau, mekanisme baharu subsidi petrol bersasar itu dijangka dapat dilaksanakan seawal April depan dan jika ia memberi impak positif, kerajaan mungkin akan menggunakan kaedah sama ke atas barangan lain bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. – Bernama










