Subsidi bersasar alat bantu rakyat - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar alat bantu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelaksanaan model subsidi bersasar perlu dibuat secara berperingkat supa­ya matlamatnya untuk meringan­kan beban rakyat dapat dicapai.

Ketua Bahagian Pendidikan, Per­satuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohd. Azmi Abd Hamid berkata, subsidi itu merupakan alat untuk membantu rakyat yang berhadapan dengan tekanan hidup dan tidak harus dipolitikkan.

“Saya merasakan bahawa sub­sidi ini ialah salah satu daripada yang disebut sebagai alat memperbetulkan keadaan di mana ada sebahagian rakyat yang terpinggir yang hadapi tekanan hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Subsidi ini mestilah benar-benar murni untuk membantu masyarakat yang dipanggil ter­pinggir seperti B40 tanpa dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Wacana Sinar – Subsidi Bersasar? Ya atau Tidak, semalam.

Menurut Azmi, jika dipolitikkan matlamat untuk me­nyalurkan subsidi bersasar tidak akan tercapai, sebaliknya hanya memberi kesan yang tidak baik kepada rakyat yang terlalu bergantung dengan bantuan tersebut.

“Matlamat subsidi tidak akan kesampaian dan akhirnya sikap rakyat yang sepatutnya benar-benar untuk dibantu bertukar menjadi bergantungan yang ber­terusan.

“Ini tidak baik untuk rakyat dan amalan demokrasi di negara ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid pula berkata, matlamat pemberian subsidi perlu jelas supaya fungsinya sebagai instrumen ekonomi dapat dicapai.

Dengan mengambil contoh usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri, katanya, cara itu akan menjadikan perkhidmatan penngangkutan awam lebih murah.

“Sistem harga kita sekarang sudah terherot. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada free market dan lain-lain disebabkan harga yang terherot tadi. Maka sebab itu ada subsidi seperti ini,” katanya.

Katanya, saluran subsidi ti­dak boleh berkekalan, namun ke­rajaan perlu memikirkan me­­kanisme yang sesuai untuk digunakan sebagai alternatif kepada subsidi.

Dalam pada itu Presiden Per­satuan Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz meminta supaya diperhalusi sistem yang bakal diguna pakai dalam pelaksa­naan subsidi bersasar petrol ba­gi mengelakkan timbulnya ma­salah.

Katanya, jika berlaku masalah pada sistem yang dilaksanakan kemungkinan boleh mencetuskan perkara tidak diingini.

Khairul Annuar juga mencadangkan sistem tersebut dihubungkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kami berjumpa kemente­rian dan kami diberi peluang untuk memberi idea. Pada kami, golongan mana yang layak biarlah ia ditentukan kerajaan.

“Kalau nak guna kad pengenalan, ia agak lambat dan akan lambatkan operasi di stesen kami. Bila ada pra kelayakan, ada kad, kami tak perlu risau.

“Kami tak mahu pekerja kami kena marah pula nanti. Sistem yang ada perlu dihubungkan dengan LHDN dan JPJ,” katanya.

Selain daripada itu, katanya, pengusaha stesen minyak berharap kerajaan mencari mekanisme terbaik dalam melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol itu kerana subsidi minyak adalah isu sensitif.

Beliau bimbang, jika meka­nisme diperkenalkan tidak bersesuaian ia akan menyukarkan pengusaha stesen minyak.

“Apa yang kami risau apabila kami membeli harga minyak pa­da harga tinggi namun perlu menjualnya dengan harga lebih rendah.

“Ia akan menganggu modal pu­singan kami. Kalau boleh, ka­mi tak mahu guna modal pusingan kami sementara menunggu rebat dari kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×