KUALA NERUS – Hanya linangan air mata dapat dizahirkan sepasang suami isteri sebaik menerima ijazah milik anak perempuan mereka yang meninggal dunia akibat menghidap kanser darah sempena majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-16 di sini hari ini.
Mat Sidik Salleh, 63, dan Aminah Abu Bakar, 48, yang ditemani dua lagi anaknya hadir bagi mewakili Nurul Fazierah, 24, menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim).
Menurut Aminah, anak kedua daripada empat adik-beradik itu meninggal dunia pada 26 Januari lalu selepas disahkan menghidap penyakit kanser darah pada penghujung tahun 2016.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami ketika nama Nurul Fazierah diumumkankan untuk menerima ijazah.
“Masa juga berlalu terlalu pantas buat kami sekeluarga kerana Nurul Fazierah tidak sempat memulakan latihan industri dan naik ke atas pentas ini untuk mengambil ijazahnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.
Pada majlis konvokesyen itu, Mat Sidik dan Aminah menerima ijazah tersebut secara anumerta bagi pihak anak mereka yang disampaikan oleh Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman. – K! ONLINE











