MELAKA 15 Nov – Sepasang suami isteri yang juga pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa dengan mendapatkan bekalan makmal bagi penyelidikan bernilai lebih RM50,000 daripada syarikat milik ibu mereka, tiga tahun lalu.
Muhammad Zulfattah Zakaria, 36, dan isterinya, Norain Idris, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Zulfattah didakwa menggunakan kedudukannya selaku pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Utem untuk mendapatkan suapan dalam menyediakan tiga sebut harga ma-sing-masing bernilai RM19,986, RM19,975 dan RM9,102 bagi pembelian barang makmal dan perkhidmatan penyelidikan daripada syarikat HA Mega Supply milik ibu mentuanya.
Norain pula didakwa atas satu pertuduhan melakukan tindakan sama menguruskan pembelian bekalan tersebut daripada syarikat sama milik ibunya berjumlah RM3,498.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh kedua-dua tertuduh antara Januari hingga Julai 2015 di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pusat Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) Utem, Durian Tunggal, Alor Gajah, di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.











