Suami diburu tikam, kelar leher isteri - Utusan Malaysia

Suami diburu tikam, kelar leher isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 12 Nov. – Tunggu balasan Allah. Itu antara mesej yang tular dalam laman sosial berikutan seorang wanita ditikam berkali-kali dan dikelar leher oleh suaminya dalam kejadian di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini kelmarin.

Mesej tersebut dipercayai dimuat naik melalui akaun Facebook sepupu mangsa yang memohon kerjasama orang ramai mencari seorang lelaki dengan gambarnya disertakan dalam laman sosial tersebut.

Kes itu menjadi tular apabila video berdurasi 15 saat memaparkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah terbaring di jalan raya sambil tangannya memegang leher bagi menghentikan pendarahan.

INDIVIDU yang diburu pihak polis yang dipercayai menikam isterinya
INDIVIDU yang diburu pihak polis yang dipercayai menikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya berhampiran Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.  IHSAN FACEBOOK

“Kau kelar leher aku, kau tikam belakang aku banyak kali, kepala aku berdarah. Kau memang kejam Arifin, tunggu balasan daripada Allah,” me­nurut mesej yang dimuat naik sepupu mangsa dalam laman sosial tersebut.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Norazam Shaari berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam apabila mangsa berusia 21 tahun cedera akibat dikelar bahagian leher dan ditikam di bahu serta dada menggunakan pisau pemotong sayur.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suaminya dalam proses penceraian. Kes masih dalam siasatan pihak polis dan sehubungan itu seorang lelaki berusia 24 tahun kini diburu bagi membantu siasatan.

“Kita juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kini mendapat rawatan di Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN