LONDON 13 Nov. – Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge menafikan penglibatannya dalam judi bola sepak meskipun didakwa melanggar peraturan pertaruhan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak England (FA).
Pemain berusia 29 tahun itu didkawa oleh FA kerana melanggar peraturan E8(1)(a)(ii) dan E8(1)(b), Januari lalu dan diberi masa sehingga 20 November ini untuk memberikan maklum balas terhadap dakwaan itu.
Liverpool menegaskan bahawa pemain itu memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FA dan memberitahu bekas penyerang Chelsea itu tidak pernah terlibat dengan judi bola sepak.
“Daniel sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses ini dan meyakinkan kelab bahawa dia akan terus memberikan kerjasama selagi diperlukan.
“Daniel juga menyatakan dia tidak pernah melakukan sebarang pertaruhan ke atas bola sepak.
“Kami tidak akan mengeluarkan sebarang komen sehingga kes ini diselesaikan sepenuhnya,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.
Pertuduhan itu bagaimanapun tidak jelas sama ada dia terlibat dengan dakwaan itu semasa dia menyertai West Brom secara pinjaman pada 29 Januari lalu atau sebaliknya.
Sehingga kini, Sturridge sudah membuat 12 penampilan dalam semua pertandingan bersama Liverpool musim ini dan berjaya menjaringkan empat gol.-AGENSI










