PETALING JAYA – Rangkaian kafe terkemuka, Starbucks Malaysia (Starbucks) melancarkan kempen The Blend is The Magic dengan menawarkan variasi minuman terbaharu, kopi Holiday Blend istimewa serta pilihan barangan cenderahati eksklusif sempena musim cuti persekolahan dan perayaan Krismas bermula esok.
Menurut pakar kopi Starbucks, Ikhwan Ajwad, Starbucks akan memperkenalkan satu minuman terbaharu iaitu Snowy Cranberry Latte.
“Tidak lupa juga kami bawakan kembali dua minuman kegemaran musim perayaan Krismas tahun lalu iaitu Toffee Nut Crunch Latte dan Peppermint Mocha yang dijual pada harga RM17 dan ke atas,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Starbucks Paradigm Mall di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ikhwan memberitahu, para pelanggan Starbucks juga boleh mendapatkan kopi Holiday Blend istimewa dan pilihan barangan eksklusif di seluruh cawangan Starbucks Malaysia mulai 13 November.
Pelanggan boleh melayari laman web rasmi Starbucks di www.starbucks.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen tersebut. – K! ONLINE










