KUALA LUMPUR 6 Nov.- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) sebagai usaha membanteras gejala rasuah serta salah guna kuasa rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, kerjasama antara kedua-dua suruhanjaya itu selaras dengan Artikel 62, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) iaitu komitmen untuk bekerjasama dari sudut perkongsian maklumat serta penyiasatan mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa yang dihadapi kedua-dua negara.
Menurut beliau, inisiatif ini juga meliputi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, penyaluran maklumat, khidmat rundingan, pendidikan dan latihan dalam usaha meningkatkan integriti pegawai SPRM serta KPK dalam membanteras jenayah rasuah.
“Satu perbincangan bersama Pengerusi KPK, Agus Rahardjo mengenai kes-kes rasuah serta langkah pencegahan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa turut diadakan bagi memastikan masalah yang boleh menjejaskan kemajuan ekonomi dan sosial kedua-dua negara itu dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Nor Azmi Karim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Datuk Junipah Wandi.
Ini merupakan lawatan pertama Mohd. Shukri ke KPK sejak dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 17 Mei lalu.- UTUSAN ONLINE










